
Sejarah Nama Kampung
Nama asal Kampung Bintangor Kechil ini wujud daripada Sungai Bintangor. Oleh kerana sungai Bintangor dan luas kawasan kampung Bintangor Kechil tersebut bersaiz kecil, kampung itu dinamakan Kampung Bintangor Kechil. Sejak dahulu sekeliling kawasan sepanjang sungai Bintangor ditumbuhi pokok nipah, pokok pedada, pokok bintangor dan pokok rengas. Besar kemungkinan nama kampung Bintangor dan Kampung Rengas berdasarkan nama pokok yang tumbuh di sekitarnya seperti pokok bintangor dan pokok rengas.
​
​
Sejarah Kampung
Kampung Bintangor Kechil terletak 1 kilometer dari pusat Bandar Kuching. Kampung ini telah wujud pada tahun 1935. Penduduk yang tinggal di kampung ini ketika tahun 1935 terdiri daripada bangsa Melayu bekerja sebagai petani dan nelayan.
​
Sungai Bintangor memisahkan kampung Bintangor Kecil dan kampung Bintangor Besar dan jambatan konkrit adalah sebagai penghubung kedua-dua kampung ini. Pada tahun 2006 kerajaan negeri Sarawak telah membina Tebingan Sungai Bintangor bagi mewujudkan persekitaran yang selesa dan teratur untuk penduduk setempat.
​
Kampung Bintangor Kechil
​
Penduduk Kampung Bintangor Kechil majoritinya berbangsa Melayu Islam dan segelintir berbangsa Cina. Kampung Bintangor Kechil mempunyai 52 rumah dan lebih kurang 200 orang penduduk. Namun demikian, kebanyakan penduduk telah berpindah atas faktor bekerja. Rumah tidak berpenghuni dijadikan sebagai rumah sewa. Lebih kurang 30 peratus rumah telah disewa dan kebanyakan di sewa oleh orang bukan penduduk tempatan. Menurut wakil dari kampung Bintangor, hal ini menimbulkan masalah seperti pergaduhan dan hal seperti ini juga menjadi kebimbangan bagi penduduk kampung.
​​
Kerana penduduk yang masih menetap di kampung itu sedikit, dan kebanyakannya adalah orang tua, tidak banyak aktiviti yang dilakukan. Aktiviti kampung yang sering dianjurkan ialah memancing. Memancing adalah kepakaran kebanyakan penduduk kampung di sini kerana kedudukan sungai Bintangor yang strategik dan sesuai untuk activiti memancing. Jawatan kuasa kampung ini juga menganjurkan perlumbaan bot kawalan jauh di sungai Bintangor.
Tarikan yang terdapat di Kampung Bintangor Kechil ini ialah sungai Bintangor yang juga dikenali sebagai Waterfront. Sungai ini bukan sahaja tempat untuk orang kampung ini mengadakan aktiviti air, tetapi juga tumpuan orang ramai yang suka memancing datang untuk memancing.
​
