
​Sejarah Nama Kampung
​
Menurut cerita nama kampung iaitu Kampung Kudei diperolehi dari seorang penduduk bernama Pak Kudai yang sering melabuhkan perahu dimuara sungai untuk menangkap ikan dan udang dengan memasang belat atau bubu pada ketika itu, maka sungai tersebut diberi nama sungai Kudei dan Kampung pula di beri nama Kampung Kudei.
Sejarah Kampung
​
Menurut cerita yang disampaikan secara lisan oleh orang tua atau penduduk yang telah tua, Kampung Kudei mula diduduki pada sekitar awal tahun 1935/1936. Pada ketika itu banyak rumah didirikan ditebing-tebing sungai iaitu sepanjang tebing Sungai Sarawak untuk memudahkan penduduk mencari punca rezeki serta pendapatan dengan menangkap ikan atau udang dengan memasang alat untuk menangkap ikan atau udang yang dipanggil BELAT dan juga BUBU dimana alat-alat tersebut akan di pasang pada ketika air naik/pasang dan ikan atau udang akan dituai atau dikutip pada ketika air surut. Pada masa itu Sungai Sarawak masih lagi ada air pasang dan surut. Kemudian pada awal tahun 1938 kerajaan British pada ketika itu mula menyukat dan membuka lot tanah untuk rumah kediaman untuk menampung pertambahan penduduk sekitar kawasan Kuching ketika itu terutama perkampungan Melayu seperti Kampung Masjid, Kampung Sungai Lajim sekarang ini Kampung No.5, Kampung Temedak yang sekarang ini di sepanjang Jalan Muhibbah.
​
Dengan terbukanya sebuah Kampung Baru maka seorang Ketua Kampung telah dilantik oleh penduduk kampung iaitu Allahyarham Salleh bin Kudang, Ketua Kampung yang Pertama. Apabila beliau meninggal dunia, maka tempatnya digantikan oleh Allahyarham Haji Sulaiman bin Arip, Ketua Kampung yang ke-2 dan beliau kemudian dilantik sebagai Penghulu Kampung Kudei Pertama dan untuk membantu beliau seorang Ketua Kampung atau Ketua Kaum yang baru telah dilantik iaitu Haji Shapiee bin Lani. Apabila Allahyarham Penghulu Haji Sulaiman bin Arip meninggal maka tempatnya digantikan oleh Ketua Kaum Haji Shapiee bin Lani sebagai Penghulu Ke-2 dan seorang Ketua Kaum baru dilantik iaitu Haji Mahrut bin Bujing.
​
Kemudian apabila tamat tempoh perkhidmatan Penghulu Haji Shapiee bin Lani maka Ketua Kaum Tuan Haji Mahrut bin Bujing telah dilantik sebagai Penghulu Kampung Kudei dan Maong yang Ke-3. Dan apabila perkhidmatan Penghulu Haji Mahrut bin Bujing tamat tempoh atas sebab kesihatan, maka jawatan Penghulu Kampung Kudei dan Maong sekarang disandang oleh Encik Mohamed bin Maraji dengan dibantu oleh Ketua Kaum Jaya bin Lai untuk kawasan Kampung Kudei Baru (Melayu) dan Ketua Kaum Sanggi ak Abu untuk Kawasan Kudei Baru (Iban).
​
Sekian serba ringkasnya sejarah Kampung Kudei.
​
Kampung Kudei Lama
