top of page

Perutusan ADUN N.8 Satok

      Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam 1 Malaysia.


      Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr. Nadianatra Binti Musa, mewakili pihak Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan para mahasiswa serta mahasiswi atas pelaksanaan projek Pembelajaran Berasaskan Perkhidmatan (Service Learning) yang melibatkan kampung-kampung yang berada di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bahagian N.8 Satok. Pembelajaran Berasaskan Perkhidmatan (Service Learning) ini ialah satu bentuk pembelajaran berasaskan pengalaman yang berlaku melalui satu kitaran tindakan dan refleksi apabila pelajar menerapkan perkara yang dipelajari mereka untuk menangani keperluan komuniti sebenar.

​

       Melalui projek ini, manfaat yang sama rata diperoleh kedua-dua belah pihak iaitu komuniti masyarakat serta pelajar. Bagi pihak komuniti masyarakat, projek service learning ini bertindak sebagai satu peluang bagi mereka untuk mendapatkan nasihat serta khidmat pakar dalam bidang IT, dalam situasi ini pelajar sebagai bakal pakar IT untuk memenuhi permintaan mereka dalam usaha untuk memperkenalkan kampung –kampung di bawah kawasan DUN bahagian N.8 Satok dengan pembinaan laman web atau portal informasi ini.

​

      Dari segi aspek pendidikan, pelajar khususnya dapat mengaplikasikan setiap kemahiran yang mereka pelajari di dalam kelas dan meningkatkan lagi keupayaan mereka dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Malah ini dapat membuktikan bahawa mereka bukan sahaja mahir dari segi teori malahan mampu mengadaptasikan ilmu yang ada dalam senario kehidupan sebenar. Proses pembinaan laman web atau portal ini dapat menjadi salah satu anjakan paradigma untuk lebih memahami isu-isu sosial semasa yang membabitkan komuniti masyarakat. Di samping itu, ia dapat membangkitkan kesedaran sivik terhadap permasalahan serta bertujuan untuk mencapai agenda utama pembinaan laman web ini. 

​

      Justeru, pembinaan laman portal rasmi ini bertindak sebagai salah satu inisiatif dan platform untuk menghubungkan komuniti masyarakat luar dan komuniti asing dalam usaha untuk menarik minat dan mendedahkan lebih lanjut tentang keunikan kampung serta kawasan di sekitar DUN N.8 Satok. Akhir kata dari saya, diharapkan agar projek pembinaan laman web ini mampu menjadi wadah penghubung di antara komuniti masyarakat tempatan dan luar serta komuniti asing kerana dunia tanpa sempadan masa kini membolehkan sesiapa sahaja, walau dimana mereka berada untuk mengakses maklumat secara atas talian. 

 

Sekian terima kasih. 

​

YB Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Abang Haji Openg
bottom of page