
Sejarah Kampung
​
Kampung Kudei Baru adalah perkampungan baru penduduk Iban yang terletak di hujung Jalan Nanas Barat, Kuching. Sekitar tahun 1980-an, 3 keluarga dari Kampung Terasi, Simunjan diketuai oleh Encik Lori Anak Mari, Encik Indar dan Encik Dagang telah menggunakan perahu panjang berhijrah ke Kuching dengan niat untuk mencari pekerjaan di sepanjang Kuching. Apabila mereka mendapat tahu ada Tanah Kerajaan di hujung Jalan Nanas Barat yang terletak di sepanjang Sungai Kudei, mereka pun berpindah, membina rumah dan terus menetap di Tanah Kerajaan yang disebutkan tadi. Selepas itu makin banyak keluarga lain dari Kampung Terasi dan daerah lain, Simunjan berpindah dan menetap di Tanah Kerajaan mengikut jejak 3 keluarga di atas. Dalam usaha menempatkan penduduk Iban, maka Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan Tanah Kerajaan yang berkeluasan 10 ekar di sepanjang Sungai Kudei Sarawak/Sungai Kudei sebagai tanah rezab kampung dan mewujudkan kampung baru yang diberi nama Kampung Kudei Baru. Rumah penduduk Iban bermula dari Lorong B8 - Lorong B16 dan dari Lorong B1 - Lorong B16 dihuni oleh majoriti penduduk Melayu. Di samping kaum Iban, kampung Kudei Baru turut dihuni oleh penduduk kampung yang berkahwin campur dengan kaum lain seperti Cina, Orang Ulu dan Bidayuh.
Ketua Kaum Munji anak Gasing merupakan Ketua Kaum pertama yang dilantik oleh Kerajaan Negeri pada 5 haribulan Disember 1988 sehingga Oktober 2009. Ketua Kaum Sangi Anak Abu merupakan Ketua Kaum kedua selepas Ketua Kaum Munji dan beliau merupakan wanita pertama dari Kampung Kudei Baru yang dilantik oleh Kerajaan Negeri sebagai ketua kaum yang berkuatkuasa pada 1 Ogos 2010 hingga 31 Julai 2014. Setakat Disember 2010, terdapat sebanyak 92 buah rumah yang dihuni 92 buah keluarga bersamaan dengan 430 orang ada di kampung ini. Bermula Januari 2016, sebanyak 87 buah rumah yang dihuni 87 buah keluarga bersamaan dengan 386 orang. Ini tidak termasuk dengan kaum Melayu yang juga merupakan majoriti daripada penduduk Kampung Kudei Baru yang berada di Lorong B1 - Lorong B16.
Kampung Kudei Baru Iban ini hanya terletak 2 setengah kilometer sahaja dari pusat bandaraya Kuching dan 1 kilometer dari Hospital Umum Sarawak. Mode pengangkutan utama bagi penduduk kampung ini adalah motosikal, kereta, van, bas awam, perkhidmatan van sapu atau van tambang dan perahu. Pasaraya UNACO yang mula beroperasi dari bulan Februari 2014 terletak hanya kira-kira setengah kilometer dari kampung ini.
​
Secara ringkasnya Kampung Kudei Baru adalah sebuah kampung baru yang kedudukannya berada di sepanjang Sungai Sarawak yang terletak di dalam sebuah kawasan yang diberi nama Satok di bandaraya Kuching. Dengan kepimpinan Barisan Nasional, kamping ini dilengkapi dengan kemudahan asas seperti kemudahan jalan raya, tenaga elektrik , bekalan air, talian telefon rumah, kemudahan lori pungutan sampah, lampu jalan dan perkhidmatan pos laju.Kepelbagaian kaum dalam kawasan kampung Kudei termasuk lah Kampung Kudei Baru Iban, Kampung Kudei Lama Melayu dan Kampung Kudei Baru Melayu yang hidup dengan aman damai dan harmoni seiring dengan konsep 1 Malaysia yang disarankan oleh Perdana Menteri Malaysia yang keenam Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Kampung Kudei Baru Iban
